salam ukhwah (=

Ranum Ramadhan

Fajar harum, bermula salam dalam udara
yang mengkhusyukkan. Semuanya tiba
terhampar dalam sepi bermusim sabar:
Hati dan budi didakap tulus oleh solat,
dalam gementar yang sentiasa syahdu.
Dalam nafas jerih bulan paling jernih.

Amalan puasa mencabar dan mengajar.
Terlimpah sepadat makna yang perih;
kita belajar dari derita yang pedih;
dan dalam bulan ujian terlalu garang
kita masih boleh mengutip kesejahteraan.
Dongak ke angkasa rahsia mengkhayali

lapisan sfera, ke kalbu tersentuhnya
kita, digundahi kekaguman luar biasa:
Bumi anugerah Allah dan terpilih kita
khalifahnya, datang yang dianugerahi,
boleh memberi, boleh juga memungkiri,
terpulang santun memilih atau menafi.

Bulan ini memangnya saat bertafakur,
bersedia memurni diri jika bersyukur,
kerana puasa yang menguji, menjelang
Idulfitri, nafas kudus menghening diri,
terbimbing ke batin lebih berhemah.
Terima kasih kita sepadu syahdu arah

yang memang datang seiring anugerah;
kerana manusianya kita, dan kerdilnya
di hadapan Allah, wajar bersyukurlah
setiap saat, sepurnama, penuh mekar
dalam debar, membaca setiap iktibar.
Kita beransur ranum dalam bulan mulia.


-DatukASamadSaid

Hati-hati Kurma ISRAEL


Kurma menjadi produk tumpuan ketika Ramadhan. Jangan terpedaya, ada dalam pasaran negara Kurma jenama Jordan River. Jika anda membeli Kurma ini ia umpama berbuka puasa dengan darah dan air mata anak Palestin.

Kurma ini didapati berasal dari Israel. Dibawa masuk ke beberapa buah negara seperti Afrika Selatan dan Singapura dan kemudian dibungkus semula sebelum dibawa masuk ke beberapa negara Islam seperti Malaysia.

Sempena Ramadhan ini juga che'GuBard dan SAMM sekali lagi memperbaharui desakan untuk Malaysia menghentikan segala bentuk hubungan dengan negara haram Israel.

Dalam satu sisi regim ini memunculkan imej anti Israel dan pro Palestin. Malah Regim ini pula mewajahkan lawan politik dalam negara sebagai agen Amerika dan perbagai imej seolah anti Islam. Namun sedarkah kita dalam wajah yang lain Malaysia ialah antara negara Umat Islam yang dipimpin oleh pemimpin munafik yang menjadi rakan dagang penyumbang kepada ekonomi Israel.

Dahulu sememangnya Malaysia ada satu undang - undang yang dipanggil Akta Larangan Perdagangan yang menghalang sebarang hubungan dagang lansung dan tidak lansung dengan dua buah negara iaitu Israel dan Afrika Selatan kerana dasar Apartheid.

Namun sebaik sahaja dasar Apartheid di Afrika Selatan 'runtuh' maka pada tahun 1994 dibawah kabinet Dr. Mahathir dasar kerajaan telah diubah dengan meluluskan pindaan Akta Larangan Import (pindaan bil.7) yang bukan sahaja menarik balik sekatan larangan dagang dengan Afrika Selatan tetapi kesempatan diambil untuk jalin hubungan dagang dengan Israel.

Sejak itu Malaysia menjadi antara rakan dagang utama dan penyumbang kekuatan ekonomi kepada negara haram Israel ketika kebanyakan negara memboikot Israel.

Di Perpustakaan MITI dengan jelas banyak terdapat bahan untuk promosi produk Israel sepertimajalah Israel-Asia Trade, Israel Review, bukuAdvantage Israel, Trade Policies Review (Israel), Advance Technology From Israel, Opportunity Israel, The Economics of Israel, Douanes (Buku kod tarif perdagangan Israel) dan beberapa lagi.

Oleh itu kita tidak hairan, jika Dr. Mahathir membayar berjuta-juta ringgit kepada sebuah syarikat Yahudi, Satchi & Satchi untuk membantunya merangka strategi pilihanraya umum 1986, Najib hari ini mengunakan Apco Worldwide untuk persediaan Pilihanraya ke-13.

Sebelum ini dalam sidang media dan banyak siri ceramah che'GuBard telah banyak kali mendedahkan beberapa bukti seperti borang kastam membuktikan bahawa Malaysia merupakan rakan dagang yang memastikan ekonomi Israel terus 'segar' dan terus berupaya membeli senjata untuk membunuh umat Islam Palestin.

Micha Harish, Israel Minister of Industry & Trade dalam Israel-Asia Chamber of Commerce menulis pernah menulis kata-kata aluan yang dipetik dalam satu makalah promosi perdagangan Israel seperti berikut,

The public declaration of the Malaysian Prime Minister and Minister of International Trade and Industrial that their country intends to pursue economic relations with Israel is another milestone in the development of trade with this continent.

Micha Harish menggambarkan bahawa Perdana Menteri Malaysia telah menyatakan hasrat dengan kementeriannya, Kementerian Dagangan Antarabangsa dan Industri bahawa Malaysia ingin mewujudkan hubungan ekonomi dengan negara Israel.

Benarkah kenyataan ini? Sekiranya tidak benar, Perdana Menteri harus menafikan kenyataan Micha Harish ini.

Memerangi Israel wajib ke ke atas semua kerana kezaliman mereka. Lebih lagi kita umat Islam ia ialah perang pembebasan kiblat pertama Umat Islam. Kita tidak mampu untuk memikul senjata memerangi tentera Israel tetapi percaya dan yakinlah sama 'maqamnya' dengan memerangi Israel apabila kita bangkit menjatuhkan Umno Bn kerana dengan jatuhnya Umno Bn kita akan menghentikan hubungan dagang dengan Israel dan seterusnya melumpuhkan sumber ekonomi mereka.

Kepada Mukhriz anak kepada Dr. Mahathir, harus tampil menyatakan pendirian sebenar dalam isu ini bukan diam berkubu di MITI yang menjadi pusat pengkhianatan yang menjadikan Malaysia negara munafik.


http://chegubard.blogspot.com


Umur....Lahir...


Kerana ALLAH, ku letakkan kasih dan cinta ini untukmu sahabatku…

Iman pengikat ukhwah kita..

Sanah Helwah bt diriku.. J

-dari seorang sahabat untuk sahabatnya.

“Selamat Pendek Umur”

Aikkk….. apa pasal pendek umur??!!

Bukankah tarikh mati telah Allah tetapkan di dalam rahim ibu lagi. Ertinya, semakin hari, semakin dekat langkah kita menuju ketetapan itu.

Dan, hari ni….setapak lagi kita dekat dengan kematian. Tak gitu??

Selalunya bila hari lahir orang bercakap tentang hidup… “Apa yang awak harapkan bila dah semakin meningkat umur ni yerr??” hurmm….Tentang kejayaan. Tentang pencapaian. Tapi biarlah kita sekarang bercakap tentang kematian pulak….

“Siapa yang tak bercakap tentang mati akan mati.”

Aiyooo…. Ada plak gitu…

Tapi..nothing can be deny about that fact..

“Hukama sendiri penah kata, sesiapa yang tidak tahu untuk apa dia akan mati, maka dia tidak layak hidup!”

Kejam tak? Huhu~

Untuk apa kita mati? ~untuk hidup.

Mati untuk hidup?

Semestinya. Sbb mati bukan satu pengakhiran tapikan hanya satu permulaan….

Mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi- alam akhirat.

Kalau diingat balik kata-kata Umar Ibn Aziz, “Manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki!” Subhanallah.

Jadi boleh tak kata hidup ini untuk mati dan mati itu untuk hidup?

Ya, hidup kat sini, di dunia ni, adalah tanaman untuk tuaian pada hidup di sana, di akhirat. Itulah tujuan hidup yang fana ni, demi kelangsungan hidup yang baqa itu.

Then….ada apa plak dengan umur?

Umur tu sebenarnya hanyalah putaran suria, purnama dan buana yang dilakarkan oleh jarum jam, minit dan saat sebuah arloji…

Bak kata Einstein…ingat tak Teori Relativiti masa?

Panjang dan pendek umur bukan pada kuantiti tapi pada kualiti… J Juga bukan pada yang zahir tapi pada yang maknawi…

Kalau kita fikir dan lihat secara jelas….. Imam Nawawi…pendek umurnya tetapi bukankah ‘panjang’ ilmu dan abadi jasanya… Imam Syafi’e…Imam Ghazali…belum sempat pencen, tapi impak perjuangan mereka melangkaui dekad dan abad… tak gitu? Subhanallah..

Rupa-rupanya petua nak panjangkan umur Cuma dengan panjangkan amal, panjangkan ilmu, panjangkan jasa…

Sedarlah kita tentang tujuan kita hidup di dunia ni! Tahu tujuan mati! Cari tujuan bagi setiap tindakan. Hasilnya?

Dunia pasti sediakan jalan kpd orang yang punya tujuan. When there is will, there is a way!

Surah al-Baqarah menukilkan seorang yang mati di jalan Allah hakikatnya terus hidup. Syuhada mendapat pahala dan kurnia berterusan daripada Allah. Jadi, satu petua lagi mcm mana nak panjang umur ialah mati syahid. J

Buat sahabat-sahabatku semua… terima kasih semua atas doa kalian…

Moga kita menjadi manusia yang tahu tujuan hidup di bumi pinjaman Ilahi, insyaAllah~

-ilmu dari pembacaan yang perlu disampaikan.....buat peringatan diri yang alpa ini dan kalian yang sentiasa mencari redha Ilahi |


TintaSerikandiIslam

dOsa Yang terpaksa

Percaya atau tidak,dalam dunia ini ramai orang yang 'terpaksa' melakukan dosa. Bukan dosa darurat kerana dia sememangnya punyai pilihan samada untuk meninggalkan atau bergelumang dengan dosa itu. Sebaliknya, dia 'terpaksa' dalam erti kata lain, dia tidak mampu menghalang dirinya daripada meninggalkan terus maksiat itu.

Inilah masalah yang seringkali terlepas pandang oleh para pendakwah muda khususnya. Orang muda, sifatnya lebih mudah menghukum. Kurang rasionalnya, kurang timbang rasanya.

Bayangkanlah, seseorang yang sudah bertahun-tahun berenak-enak dengan suatu dosa, pasti teramat sukar baginya untuk meninggalkan dosa itu.

Sebagai contoh, seseorang anak muda yang sejak usianya belasan sudah pandai clubbing dan kini sudah 30-an, pasti sukar baginya untuk menghentikan tabiat buruk itu. Makanya, kita tidak boleh menghukum terus sebaliknya kita boleh 'meringankan' dosanya.

Bagaimana?

Jika kita buka surah Yusuf ayat 9 dan 10, kita lihat bagaimana anak-anak Nabi Ya'akob merancang untuk membunuh adik mereka (Nabi Yusuf). Lalu timbul persoalan, anak-anak seorang rasul pun mahu membunuh saudara kandungnya? Ayahnya tidak mendidik merekakah?

Maka jika kita lihat sekali lagi, jelas rancangan asal mereka ialah untuk membunuh tapi bangun seorang yang paling tua dalam kalangan mereka mencadangkan agar Yusuf tidak dibunuh, sebaliknya sekadar dibiarkan di dalam perigi, moga-moga ada orang musafir yang mengutipnya.

Di sini kita memerhatikan dua pengajaran.

Pertama,hasad dan dengki akan membuatkan kita sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan musuh. Demikianlah yang terjadi kepada adik-beradik Nabi Yusuf a.s yang jealous dan cemburu dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh bapa mereka, Nabi Yaakub kepada Nabi Yusuf a.s berbanding dengan orang lain.

Kedua, orang yang ditarbiyyah, jika dia 'terpaksa' melakukan sesuatu dosa kerana sudah dikuasai nafsu dan syaitan dia pasti akan melakukan dosa itu dengan mengambil dosa yang paling sedikit kesannya.

Dalam keadaan masyarakat masa kini,untuk kita lari dan tinggalkan 100% dosa silam, itu adalah sesuatu yang sukar melainkan jika Allah mengkehendakinya begitu. Yang pasti, ramai dalam kalangan kita sudah punya hidayah tapi belum dikurniakan taufik. Ramai yang sudah diberi kesedaran (hidayah) tapi tak ramai yang diberi kekuatan (taufik) untuk melakukan kebaikan seperti yang hati kecilnya mahu.

Ini dibuktikan dengan firman Allah dalam surah al-hujurat ayat 7 bahawa fitrah manusia, tidak kisah sejahat manapun dia, dia cenderung kepada keimanan dan membenci kepada kekufuran dan dosa. Kita boleh tipu orang lain, tapi kita takkan boleh tipu diri kita. Kita mahu mengenal Allah. Kita mahu menjadi pemuda yang dekat dengan masjid. Kita mahu jadi orang yang baik. Tapi kadangkala kita terlalu ego untuk mengaku bahawa kita mahu berubah.

Maka,di situ lah peranan da'ei sebagai penyeru dan bukannya penghukum. Apa yang terjadi, jika kita mudah menghukum orang lain ,maka hati kecil yang nak berubah ini terus tertutup dek kecewa dengan sikap orang-orang berkopiah ini. Apakah ini yang dinamakan jenayah kopiah putih?

Susah nak tinggal kebiasaan jahat kita,tapi ia boleh. Apa yang perlu, ialah azam dan keinginan yang kuat untuk berubah. Jika hari ini kita buat maksiat 5 kali, mungkin minggu depan kita buat 4 kali. Sedikit demi sedikit, kita kurangkan. Terus menerus kita kurangkan dan insyaAllah kita boleh tinggalkan terus! Yakinlah! Dan, jadilah manusia yang bijak yang mengurangkan impak dosa.

Wallahualam

Penulis: IqbalSyarie


p/s: Ramadan al-Mubarak bulan tarbiah dan juga tazkiyatun nafsibuat manusia agar kembali kepada fitrah yang suci. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Maka kembalilah mereka ibarat bayi yang baru lahir suci daripada segala dosa.

TintaSerikandiIslam


Reminder ^^


xnmpak ea??
klik gambar tu yerrr~

Ramadhan Kareem

video

Lambaian Ramadhan hampir menggamit tiba dan Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah mengfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu‐pintu syurga dan ditutup padanya pintu‐pintu neraka, ditambat padanya syaitan‐syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak.”

-Hadith ini dikeluarkan oleh Ahmad, al‐Nasa`ie daripada Abi Hurairah.

Takrif Puasa
Dari segi bahasa ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini sama dengan firman Allah s.w.t menceritakan perihal Maryam, melalui Surah Maryam, ayat 26 yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Allah yang bersifat al‐Rahman.”
Dari segi istilah syaraknya pula, puasa ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.


Takrif Ramadhan
Ramadhan pada bahasa dengan maksud kepanasan atau batu‐batu kecil yang berada di padang pasir pada musim panas. Ia merupakan satu bulan daripada bulan‐bulan Islam yang berada di antara Sya’ban dan Syawal. Bulan ini ditaklifkan kepada umat Islam berpuasa.
Al‐Syeikh Sya’rawi di dalam al‐Fatawa berkata: Perkataan bulan ﺷﻬﺮ diambil daripada maksud pemberitahuan dan penzahiran dan kadang‐kadang dinamakan masa yang tertentu sebagai bulan. Sesungguhnya matahari tidak mampu untuk diketahui berkenaan dengan bulan kerana ia berfungsi hanya untuk menetukan hari. Matahari yang muncul disebelah timur pada hari ini begitu juga akan muncul pada hari esok mengikut sifat dan bentuknya yang sama. Sedangkan bulan dapat dipastikan datang dengan Hilal (anak bulan) pada permulaan kemudian membesar sehingga menjadi bulan mengambang yang penuh hingga kepada kekurangan semula, justeru dapat di bezakan awal, pertengahan dan akhir bulan.

Atas dasar inilah Allah s.w.t mengikat segala amalan ibadat dengan ayat kauniyyah yang zahirah (tanda kekuasaan Allah yang zahir). Ayat di sini ialah anak bulan selepas itu baru di ambil dari matahari hari tersebut kerana anak bulan tidak memberikan kepada kamu kefahaman tentang hari justeru, kita berhajat kepada kedua‐duanya. Dengan sebab itulah sentiasa bermula masa ramadhan dengan malam dan segala ibadat di sini berkenaan dengan ramadhan bahawa malam didahulukan sebagaimana yang ma’ruf (tidak ada khilaf dalam masalah ini bahawa siang hari mendahului malam kecuali pada satu ibadat iaitu wuquf di `arafah. Malam datang selepasnya).

Bulan ramadhan asalnya daripada kalimah ﻡ ﺭ yang menunjukkan kepada kepanasan atau kepada kepanasan yang membawa kepada dahaga begitu juga pasir‐pasir yang panas di padang pasir. Al‐Qurtubi berkata:
Dikatakan dinamakan Ramadhan kerana ia membakar segala dosa dengan amalan yang soleh. Ini kerana diambil dari perkataan ﺍﻹﺭﻣﺎﺽ yang bermaksud membakar. Ada pendapat mengatakan kerana hati‐hati dapat mengambil padanya dari kepanasan mau`izah dan fikrah pada urusan akhirat sebagaimana pasir dan batu menjadi panas dengan sebab panahan cahaya matahari. Seolah‐olah manusia ketika mereka datang untuk meletakkan nama‐nama berbetulan pada ramadhan pada waktu yang panas terik (sebagaimana bulan rabi’ yang pertama dan kedua berlaku dalam musim bunga) ini menunjukkan mereka memerhatikan sifat bulan ketika menamainya, kemudian berlangsungnya masa yang khas bagi orang arab sebagai hilali pada zaman yang am sebagai syamsi. Kemudian datangnya ramadhan pada musim sejuk dan juga datangnya ramadhan pada musim luruh, tetapi saat penamaan adalah pada musim panas, justeru penamaan tersebut berkenaan dengan ramadhan dilihat pada waktu dinamakannya. Seolah‐olah Allah yang sebenarnya telah memilih bagi bulan ini dengan nama yang tersebut untuk menunjukkan betapa masyaqqah untuk ditempuhi oleh orang yang berpuasa.


Pensyariatan Puasa
Puasa bulan Ramadhan telah difardhukan pada bulan Sya’ban tahun ke‐2 Hijrah. Sebelum itu amalan puasa telah pun biasa dilakukan di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab. Hal ini berdasarkan firman Allah dalam Surah al‐Baqarah, ayat 183:
Maksudnya: “Wahai orang‐orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang‐orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.”

Sayid Qutub berkata: Demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa itu iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredhaan‐Nya. Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati. Orang‐orang yang dihadapkan ayat‐ayat al‐Quran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya maqam taqwa di sisi Allah dan betapa berat timbangannya di dalam neraca Allah.

Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka, dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa dan salah satu jalan yang menyampaikan kepada taqwa. Oleh sebab itulah ayat ini mengangkatkan taqwa di hadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa. Akan tetapi kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat‐umat terdahulu adalah dari segi pensyariatan puasa itu sahaja. Kemudian umat Nabi Muhammad s.a.w secara khususnya difardhukan puasa bulan Ramadhan tersebut berdasarkan Surah al‐Baqarah, ayat 185:
Maksudnya: “Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al‐Quran menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan‐keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah. Oleh itu sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan atau mengetahuinya hendaklah ia berpuasa bulan itu.”



sumber: Masjid al-Azim, Melaka_Jabatan Mufti Melaka

Syurga @ Neraka


Sabda Rasulullah SAW : "Semua ummatku layak masuk syurga kecuali mereka yang sengaja enggan masuk syurga." Sahabat bertanya : "Siapakah yang enggan masuk syurga itu ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah SAW : "Sesiapa yang taat kepadaku layak masuk syurga dan sesiapa yang menderhakaiku maka sesungguhnya ia lah orang yang enggan masuk syurga."

Hadis ini menjelaskan kepada kita calon syurga ialah mereka yang taat kepada Allah swt dan melaksanakan sunnah Rasulullah SAW sementara calon neraka pula ialah mereka yang melanggar perintah Allah swt, melakukan maksiat dan mungkar serta derhaka kepada Allah SWT dan Rasul-Nya .

Antara calon neraka ialah mereka yang melampaui batas agama. Tidak peduli dosa dan pahala. Mereka bertindak berasaskan nafsu dan syahwat.

Memburu kepentingan duniawi tanpa peduli halal dan haram. Demikianlah firman Allah swt :

"Maka adapun sesiapa yang melampaui batas (melakukan perbuatan yang ditaja oleh nafsu dan syaitan) dan terlalu kemaruk dengan kehidupan dunia sehingga mengabaikan akhirat maka sesungguhnya neraka jahannamlah tempat tinggal yang layak buat mereka."

Sementara calon syurga pula ialah mereka yang takut kepada Allah SWT Tuhan yang Maha Agong. Tidak berani mengangkat muka untuk derhaka dan melanggar hukum Allah SWT. Juga orang yang mencegah dirinya dari perangkap nafsu dan syahwah serta bebas dari melakukan perbuatan terlarang seperti rasuah, judi, arak, zina, pecah amanah, zalim dan sebagainya. Firman Allah swt :

".. dan adapun mereka yang takut kepada Tuhannya yang Maha Tinggi dan mencegah dirinya dari nafsu dan syahwah maka sesungguhnya syurga adalah tempat tinggalnya yang paling layak." (Surah an Naazia't : 38 - 41)

Tegasnya syurga tidaklah mudah untuk dimasuki melainkan mereka yang bertaqwa kepada Allah swt, justeru syurga hanyalah diwariskan kepada mereka yang bertaqwa. Taqwa dengan maksud tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan semua perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

"Demikian syurga yang kami wariskan dari kalangan hamba-hamba kami akan mereka yang benar-benar bertaqwa." (Surah Maryam : 63)

Sebahagian dari penegasan Al Quran sebagai kalamullah dalam menetapkan calon neraka dan calon syurga dapat kita lihat dari ayat ini :

".. bahkan mereka yang melakukan kejahatan (rasuah, judi, arak, zina, pecah amanah, zalim dan sebagainya) dan ia terus hanyut tenggelam dalam kejahatannya maka mereka adalah penghuni neraka, mereka pula kekal di dalamnya sementara orang-orang yang beriman dan beramal dengan amalan yang soleh, merekalah penghuni syurga, mereka pula kekal di dalamnya." (Surah Al Baqarah : 81)


Ayat-ayat di atas, bolehlah dinilai oleh setiap individu, bagaimana keadaan kita.

Ia pasti sahaja melewati batas sempadan parti politik dan kepentingan suku kaum.

Siapa jua yang tidak melandasi hidup berasaskan manhaj rabbani dan sunnah an nabawi maka ia sendiri tahu bagaimana nasib dan masa depannya di akhirat kelak.

Selebihnya menjadi milik mutlak Allah swt untuk menetapkan keputusannya berkait syurga dan neraka.

Namun tidaklah salah jika kita menyebut kalau kamu buat begini jawabnya neraka dan kalau kamu buat begini tentunya syurga balasan ke atas kamu.

Seperti kita menyebut kepada anak kita, "Hei Awang! Jangan mencuri nanti kamu masuk neraka" atau sebaliknya "Hei Awang! Sembahyanglah kalau kamu nak masuk syurga."

Tentu tidak salah perkataan-perkataan tersebut justeru ia bermaksud untuk mendidik anak bukan menentu syurga atau neraka buat sang anak.

-Ust Nasarudin Hassan