salam ukhwah (=

Mencari Penawar Duka, pengubat Sengsara



Apabila insan terjatuh dalam ujian hidup; kesusahan, keperitan, kezaliman, keresahan, kesedihan dan segala rupa paras penderitaan, insan akan bertanya, apakah penawarnya? Di manakah jalan keluar dari segala kegelapan ini? Bagaimana mungkin dapat aku buang derita yang bersarang dalam jiwa dan peristiwa? Dapatkah aku keluar dari kemelut ini?


Sebahagian ujian itu, jika diukur dengan akal insani, seakan tiada lagi baginya jalan keluar. Warna kegelapan kadang-kala merangkumi segala penjuru, hanya Allah sahaja yang mampu mengeluarkan insan dari keadaan yang sedemikian. Kadang-kala pula insan terpaksa berhadapan dengan realiti yang amat pahit, tidak mampu ditolak oleh dirinya yang kerdil. Namun, insan yang beriman yakin bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh menukar segala keadaan. Menggantikannya dengan lebih baik yang tidak disangka. Memindahkan duka kepada bahagia dalam pelbagai rupa dan warna.


Persoalannya, bagaimanakah caranya agar Allah Yang Agung melimpahkan rahmatNya lalu menurunkan pertolonganNya. Ya, memang insan disuruh berdoa dan merintih kepadaNya. Namun apakah caranya agar mustajab lalu Allah membawanya keluar dari daerah duka kepada daerah sejahtera atau bahagia? Apakah ungkapan yang meredhakan Tuhan al-Rahman yang menjadikanNya dengan pantas mendengar rintihan insan?



Insan perlu sedar, antara penghalang rahmat Tuhan kepadanya adalah dosa dan kesalahannya. Dan, setiap insan pula tidak terlepas dari salah dan dosa. Sehebat mana pun, sealim mana pun dia, insan tetap insan, terdedah kepada dosa. Jika tidak anggotanya, mungkin dosa jiwa atau hati nurani yang sombong dan bongkak, atau hasad atau sangka buruk dan pelbagai lagi. Percikan dosa sentiasa ada. Ia penghalang cahaya indah syahdu antara nurani insan mendampingi Allah untuk menjadi kekasihNya. Maka, doa sentiasa diganggu oleh dosa. Apakah penawar yang menerangi jalan agar doa itu sampai kepada insan dengan pantas dan mustajab? Jawapannya ialah taubat dan istighfariaitu kembalikan kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya. Dengan jujur, dengan luhur, dengan kusyuk. Itulah penawar yang akan membuka kebahagian hidup. Itulah janjiNya: (maksudnya)

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubat kepadaNya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia)…” (Surah Hud: 3)


Janji Yang Pasti

Setiap kita pernah melalui duka dan sengsara. Kita mencuba perbagai ungkapan dan doa agar Allah mendengar rintihan kita. Ya, doa itu senjata. Namun, di sana ada satu pemohonan yang jika dibuat oleh insan dengan keikhlasan jiwa, pengharapan dari lubuk jantung hatinya maka Allah akan mendatang pelbagai kebaikan lain kepadanya. Dikeluarkan dari kesempitan hidup, diberi kurnia rezeki dan anak, kebahagiaan jiwa dan ditambah kekuatan dan pertolongan.


Inilah janjiNya dalam al-Quran. Bukan janji yang diadakan oleh sesetengah buku doa, atau bicara tokoh-tokoh agama yang kadang-kala mengada-adakan pelbagai doa ‘sendirian berhad’ mereka yang entah dari mana dikutipnya. Tidak! Ini adalah jaminan langsung dari Allah dalam kitabNya. Apakah pemohonan itu? Permohonan ialah doa agar Allah S.W.T mengampuni dosa. Apabila ia dilafazkan dengan ikhlas dan jujur. Sebanyak-banyaknya. Dengan kekerdilan diri, tunduk dan insaf, maka keajaiban pertolongan Allah pun akan datang dalam pelbagai rupa dan cara. Inilah janji dalam banyak ayat dalam al-Quran.

Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya: (maksudnya)

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai” (Surah Nuh: 9-12).


Ditambah Kekuatan

Gelora hidup kadang-kala amat menakutkan. Ia memukul insan dari sudut yang diduga dan tidak diduga. Jika hanya bergantung kepada kekuatan diri semata, insan akan terkorban dan tidak akan berdaya. Ganasnya lautan hidup hanya dapat dihadapi dengan kekuatan kurniaan Allah.

Firman Allah: (maksudnya)

“(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)”. (Surah Hud: 52).

Dengan tambahan kekuatan dari Allah dan bantuanNya insan merasai kekuatan dalam menelusuri permusafiran di dunia yang fana ini.

Maka membanyakkan istighfar adalah penawar hidup. Betapa banyak kisah insan-insan yang Allah berikan pelbagai kurnia disebabkan mereka membanyakkan istighfar. Betapa banyak hamba-hamba Allah yang diselamatkan dari pelbagai kesusahan, diberikan ketenteraman jiwa dan pelbagai pertolongan berkat keikhlasan istighfar mereka. Setiap insan yang beristighfar dengan ikhlas sebanyak-banyaknya pada sesuatu hari akan merasai kesyahduan ruhnya. Allah akan membuka ufuk akalnya. Dia akan alami kekudusan jiwa, kesegaran minda dan merasai perdampingan dengan Allah.

Tapi syaratnya, hendaklah istighfar yang ikhlas. Bukan yang hanya berlagu’ dimulut tapi kontang jiwanya dalam mengharapkan keampunan Allah. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) menceritakan bahawa bagaimana beliau apabila menghadapi masalah, beliau akan beristighfar sehingga seribu kali atau lebih, di mana sahaja beliau berada; di masjid, di pasar, di pusat pengajian sehinggalah beliau dapati Allah lapangkan dadanya dan tunaikan hajatnya. (lihat: Ibn ‘Abd al-Hadi, al-‘Uqud al-Durriyah, 21. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).

Marilah kita banyakkan istighfar, ia adalah penawar. Istighfar adalah penyembuh derita jiwa seorang hamba. Ia membawa kurnia Allah yang disangka dan tidak disangka. Maka datanglah rezeki, kebahagiaan dan pertolongan. Hiasilah kepahitan hidup dengan istighfar, nescaya kita akan merasai kemanisan dan kelazatan berada di persada alam yang sementara ini.


*Semoga diri ni kuat menghadapi segala ujian dr pelbagai sudut, InsyaAllah.




Tabiat & sunnah Rasulullah SAW

Mencontohi tabiat, cara makan Rasulullah

Mukmin Yang Kuat


Hadis-hadis Rasulullah umpama berlian yang jika dilihat dari apa sudut jua, pasti terdapat pengajaran amat bernilai yang dapat kita ambil darinya. Ayuh kita merenung dan mengkaji salah satu hadis yang saya maksudkan:


Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah berbanding mukmin yang lemah. Pada setiap orang ada kebaikan maka bersungguh-sungguhlah mencari apa yang bermanfaat bagi kamu dan mohonlah pertolongan Allah serta jangan bersikap mengalah.
Jika kamu ditimpa oleh sesuatu maka janganlah berkata: “Seandainya aku berbuat demikian, tentu akan menjadi sekian-sekian” akan tetapi katakanlah: “Taqdir Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti terjadi”. Ini kerana perkataan “Seandainya” membuka pintu perbuatan syaitan.
[Shahih Muslim, no: 4816]


Di antara pengajaran hadis ini:

Allah Mencintai Mukmin Yang Kuat.


Hadis ini dimulai dengan: Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah berbanding mukmin yang lemah. Perkataan kuat di sini bererti kuat dari semua sudut, kuat dari sudut jasmani, kuat dari sudut ilmu, kuat dari sudut pemikiran dan kuat dari sudut jatidiri. Seorang mukmin yang memiliki jasmani, ilmu, pemikiran dan jatidiri yang kuat lebih dicintai oleh Allah dan lebih baik kepada Islam berbanding mukmin yang lemah dalam satu atau lebih dari ciri tersebut.

Justeru hadis ini menganjurkan kita untuk menjadi mukmin kuat, yang cemerlang dalam semua sudut. Islam tidak suka umatnya kuat dalam peperiksaan tetapi lemah dalam kesihatan. Islam tidak suka umatnya kuat dalam bersukan tetapi lemah dalam memikirkan strategi kehidupan. Islam tidak suka umatnya kuat dalam menghafal tetapi memiliki keyakinan diri yang rendah.
Oleh itu dalam rangka kita berusaha ke arah kecemerlangan, usahalah secara sama rata dalam semua sudut dan aspek. Jangan memberi fokus kepada satu dan mengabaikan yang lain.


Setiap Mukmin Memiliki Kekuatan Tersendiri.


Hadis ini diteruskan dengan: Pada setiap orang ada kebaikan maka bersungguh-sungguhlah mencari apa yang bermanfaat bagi kamu dan mohonlah pertolongan Allah. Ertinya, pada setiap individu terdapat kebaikan dan kelebihan yang Allah taqdirkan, yakni yang Allah “programkan” ke dalam dirinya. Maka dalam rangka kita berusaha ke arah kecemerlangan, kegagalan dalam satu bidang tidak bererti gagal secara keseluruhan. Sebaliknya bersungguh-sungguhlah mencuba bidang yang lain kerana pada setiap orang ada kebaikan. Tidak dilupai, sentiasalah berdoa kepada Allah dalam apa jua kecemerlangan yang diusahakan.


Hadis ini berbeza dengan sistem penilaian yang ada di negara kita. Di Malaysia, masyarakat mengukur cemerlang atau tidak seseorang berdasarkan keputusan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Semua orang dianggap memiliki kebaikan yang sama sehingga semua orang dikenakan kaedah penilaian yang sama. Padahal orang yang lemah dalam peperiksaan mungkin cemerlang dalam bidang seni, teknikal, perniagaan, masakan, komunikasi dan sebagainya.


Justeru masyarakat, dimulai dengan para pembaca Dara.com hendaklah mengubah kaedah penilaian tahap kecemerlangan seseorang. Kecemerlangan itu pelbagai, maka janganlah disempitkan kepada satu sahaja.


Jangan Mengalah.


Rasulullah menekankan:…serta jangan bersikap mengalah.” Islam tidak mengenal sikap mengalah. Apa yang dikenali dalam Islam ialah kepelbagaian strategi sehingga jika Plan A menemui jalan buntu, ia diubah ke Plan B. Jika Plan B menemui kesukaran, beralih ke Plan C dan demikianlah seterusnya.
Jika kita mengulangkaji sejarah Rasulullah, akan ditemui sikap baginda yang tidak mengalah. Apabila strategi menyebarkan Islam di Mekah menghadapi reaksi penindasan dari warga Mekah, baginda beralih ke Plan B dengan sebahagian dari umat Islam berhijrah ke Habsyah (Etophia) di Afrika. Apabila penindasan berterusan, baginda beralih ke Plan C dengan semua umat Islam berhijrah ke Madinah.


Tidak Pandang Ke Belakang.


Seterusnya hadis ini mengingatkan kita bahawa jika sesuatu usaha atau plan menemui jalan buntu, maka janganlah mengeluh, menyesal dan merungut dengan berkata: Seandainya aku berbuat demikian, tentu akan menjadi sekian-sekian. Ini adalah ucapan orang yang mengalah dan suka memandang ke belakang.


Sikap seorang mukmin yang kuat lagi cemerlang ialah dia memandang ke hadapan. Apabila satu usaha atau plan menemui jalan buntu, maka dia akan mengucapkan: Taqdir Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti terjadi. Seterusnya dia akan berfikir apakah langkah seterusnya, merencana Plan B dan mencari kejayaan yang baru.


Seorang mukmin hendaklah sedar bahawa segala langkahnya berada di bawah ilmu dan kehendak Allah. Jika dia berjaya maka itu sudah ditaqdirkan oleh Allah dan jika dia gagal maka itu sudah ditaqdirkan oleh Allah. Kita tidak dituntut untuk menyesali taqdir yang sudah berlaku, tetapi dituntut untuk mengetahui taqdir yang akan berlaku. Maka teruskan berusaha untuk mencari dan mengetahui taqdir seterusnya.


Apabila kegagalan disambut dengan ucapan:Seandainya aku berbuat demikian, tentu akan menjadi sekian-sekian , ia memberi isyarat tidak redha menerima taqdir Allah dan ini seterusnya menjadi pintu untuk syaitan menggoncang keimanan dan kefahaman seseorang tentang qadha dan qadar.


Demikianlah beberapa pengajaran penting dari hadis ini. Kefahaman dan penghayatan yang benar terhadap hadis ini akan menjadikan kita mukmin yang kuat lagi maju ke hadapan. Kelemahan dan kemunduran yang sedang kita hadapi sekarang ini disebabkan kebanyakan kita tidak tahu berkenaan hadis ini atau tidak mengamalkan pengajarannya.



(Kapten Hafiz Firdaus, 2011)