salam ukhwah (=

Sedar & fahamkah kita?


BULAN Rejab mencatat dua peristiwa sedih dalam sejarah perjalanan hidup Rasulullah s.a.w (juga dikenali sebagai ‘Aam al Huzni).

Dua peristiwa sedih itu ialah kematian isteri kesayangan, Siti Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib.

Khadijah banyak berkorban harta benda dan wang ringgit bagi membantu berdakwah mengembangkan syiar Islam. Selepas Siti Khadijah meninggal dunia disusuli pula kematian Abu Talib yang begitu rapat dengan Baginda.

Abu Talib adalah orang yang sangat dihormati dan disegani di kalangan bangsa Arab menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berani mengganggu Rasulullah.


Pemergian dua insan yang disayangi itu amat dirasakan Baginda. Selepas itu, pergerakan dakwah baginda di kota Makkah sering mendapat gangguan daripada orang kafir Quraisy.


Baginda mendapat tentangan, ejekan serta mendapat ancaman. Rasulullah akhirnya memutuskan untuk berhijrah ke Taif, tetapi malangnya di Taif juga Rasulullah turut menerima ejekan dan cacian daripada penduduk di sana.

Maka Rasulullah kembali semula ke Makkah. Penderitaan ditanggung Rasulullah ketika itu cukup berat dan melihatkan keadaan Baginda itu, Allah s.w.t memerintahkan Jibril membawanya menjalani peristiwa Israk Mikraj.

Peristiwa menakjubkan itu berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan Baginda. Ia memberi hikmah dan pelajaran kepada Baginda, sekali gus menjadi cerminan buat umatnya pada masa akan datang.

Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj amat sukar dimengertikan. Namun ia membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai seluruh alam ini termasuk langit dan bumi.

Hikmah yang terkandung di dalamnya perlu direnungi dengan teliti agar dapat memberi nilai tambah dalam kehidupan umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan dan peningkatan ibadah kepada Allah.

Peristiwa itu dicatatkan di dalam al-Quran Surah Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Kita ingat lagi atau tidak akan peristiwa semasa perjalanan Rasulullah? Perjalanan antara bumi dengan langit? Perjalanan antara masjidil Haram ke Masjidil Aqsa?

Buraq Itu Cepat Dan Pantas

Al-Isra-Al-Miraj1

Menurut kajian sarjana dan cendekiawan Islam, kecepatan perjalanan buraq itu adalah dalam sekelip mata.

Dalam sebuah hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik katanya: Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Aku didatangi Buraq iaitu seekor binatang yang berwarna putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar dari keldai, tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut Buraq mencecah bumi.”

Baginda bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku terus menunggangnya, ia melangkah kakinya dengan cepat sejauh penghabisan mata memandang sehinggalah sampai ke Baitulmaqdis.”

Kita ni ingat atau tidak akan peristiwa-peristiwa penting semasa perjalanan baginda?

Dalam ‘pengembaraan’ luar biasa itu juga Rasulullah menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan yang diterima manusia akibat melakukan kemungkaran di dunia.

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

  • Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

  • Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

  • Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

  • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

  • Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

  • Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

  • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

  • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

  • Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

  • Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

  • Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

  • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

  • Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


Penutup: Adakah Kita Sedar

Adakah selama ni kita sedar ataupun belum di ketuk untuk di sedarkan? Untuk diri saya juga. Sama-sama kita hayati penghayatan pada bulan Rejab ini. Mungkin ini Rejab kita yang terakhir?



ilmi-Islam.com